Saturday, October 3, 2009

Ombak Dosaku & Rahmat PantaiMU

Perjalan hati ini kian senak. Aku mengharap kekuatan dari dalam diri sendiri. Tidak boleh lagi mengharap pada

suasana dan sesiapa saja untuk kembali ke pangkal jalan. Aku hormati semua orang, tapi dalam hal ini mereka tidak
dapat membantu aku.

Akukah pesakit jiwa yang sedang parah dilanda kebimbangan dan kegoncangan pendirian? Akukah insan

lara mendamba duka yang datang semakin kencang bagai taufan melanda? Akukah penjahat yang telah hilang kasih

sayang dan kemesraan? Akukah insan merana yang telah jauh ditinggalkan kecintaan Tuhan?
Satu demi satu soalan itu datang mengganggu. Menggugat langkah hatiku yang kian penat. Menikam dan menghiris jiwa

yang kian jauh daripada ketenangan. Aku ingin segala-galanya seperti dulu. Ketika cinta dan kasih sayang semerbak harum

mendandan perhubungan. Cantik, wangi dan indah di mata. Tenang, lunak dan mesra di jiwa. Kini, panorama hidup yang
bersemadi padang hati kian ternoda oleh dosa. Hitam, kelam dipalit kemungkaran. Tidak ada lagi lagu suara syahdu yang datang
memujuk.

Semuanya seakan-akan jeritan maut yang mengganas dan buas.
Aku mengembara lagi bersama detik hati dan tarian jari. Biar airmata menjadi dakwat; kesedihan menjadi tinta.

Kulukiskan lagi potret duka. Biar senandung muram, suram dan kelam ini menjadi kabut yang menutup seluruh pandangan.

Inilah lagu penderitaan. Kesengsaraan jiwa yang kian parah. Gempa kehidupan yang meluruhkan segala cita-cita dan harapan.
Kulayan lagi dialog ini semau-maunya. Biar syaitan tahu tipuannya berjaya, namun aku tidak putus asa.

Ku harap
malaikat tidak jemu memberi dorongan dan amaran walau itu semua sering kuabaikan. Aku hanya insan kerdil di mayapada
yang luas ini. Hanya debu yang tidak bernilai dan berharga. Tidak cemar keagungan Allah kerana kederhakaanku.

Tidak terguris
sedikit pun kehebatanNya dengan keberanianku melanggar hukum-hakamNya. Kelalaian, kederhakaan dan kedegilanku hanya
akan memusnahkan diri sendiri. Oh! Malangnya.

Kuteruskan lagi gerak rasa di simpang siur ingatan yang pensaran. Biar diri bertempur dengan diri. Biar medan diri
kecamuk gempuran resah yang kian mengamuk. Aku tidak mampu lagi membiarkan keluh kesah ini tersumbat dan
terperangkap.

Apakah akhirnya turutan yang berulang-ulang dan meletihkan ini? Mana hilangnya pertimbangan akal dan ilmu?
Ke manakah melayangnya didikan dan kesedaran? Mana?
Aku seharusnya tidak bertanya lagi. Bukankah semuanya sudah sedia dan wujud. Telah dicari dan pernah dinikmati.

Sudah pernah dirasa dan dikecapi. Tetapi mengapa hilang lagi? Mengapa semuanya bagai bayang-bayang – dilihat ada
ditangkap hilang? Mengapa diturutkan lagi kesesatan dan kemungkaran? Janjiku dusta. Tekadku belot. Mengapa? Ah! Kenapa
kau bertanya lagi? Mengapa perlu ditanya “mengapa”? Semuanya datang menerkam dan mencengkam.

Aku bergerak lagi menyusuri galur-galur perasaan yang tertekan. Mencari sesuatu yang lebih pasti tetapi telah terjerumus
ke lubuk tipuan yang mengasyikkan. Apakah sudah buntu jalan mujahadah ini? Atau aku tidak layak lagi menjadi hamba Tuhan
yang inginkan kesenangan dan ketenangan? Aku hanya layak dihukum kerana kelalaian dan mungkir janji.

Rancanganku, rancangan jahat. Fikiranku dibaluti mungkar yang tambah tebal. Langkahku ke arah dosa. Inderaku
mengundang kelalaian. Bergetar jiwaku ditusk sembilu kecewa. Darahnya membuak membanjiri persada azam yang
melemaskan tekad.

Kecewakah aku? Tidak….Tidak…...Tidak!
Jadi, apakah cukup dengan “tidak”? Memadaikah dengan sesalan? Tenangkah hatimu Cuma bersedih dan merintih.

Bukankah itu alasan untuk kembali mengulangi dosa?Dosamu tidak akan bersih dengan taubat yang hambar. Mana seri kekuatan
kerja yang dibumbu oleh kesungguhan dan kegigihan? Mana kelembutan yang pernah kautanam dan telah pernah membuahkan
kemesraan? Semuanya kini telah terbakar meninggalkan peribadi yang kontang gersang daripada sifat-sifat yang terpuji.

Gempur tipuan syaitan terkutuk itu daripada sanubarimu. Hancurkan tembok nafsu yang menghalang. Bergerak dan
bertindaklah, lari dari bencana ini! Aku menangis ya Allah. Walaupun hatiku keras bagaikan batu. Jiwaku masih menagih
kasihMu.

Aku dahagakan hidayahMu. Sudah puas kucari jalan kembali. Malangnya, bila melangkah aku kalah. Aku ingin
kembali wahai Tuhan…kepada hamparan kasih dan cintaMu yang tidak bertepi. Agar di situ atau dalam langkah ku menujunya,
nyawaku dicabut. Ya Allah! Walau apa pun aku tetap yakin……..ombak dosaku tidak akan dapat menenggelamkan pantai
rahmatMu yang maha luas dan gunung pengampunanMu yang maha tinggi.

1 comment:

  1. Salaam, saya ingin melantik anda menjadi ejen bagi produk saya berkaitan aktiviti & permainan islami..

    Komisyen ejen 30%-40%.

    Sampel produk boleh dimuat turun secara percuma di

    http://www.4shared.com/file/126105026/c5bc6234/25_Sample_-_Aktiviti_dan_Permainan_Kreatif_Islami.html

    Jika berminat, hubungi saya
    Bro Yusry 014-231 1856 / 019-632 0905 / yusryyusopp@gmail.com
    Lawati creativesifu.blogspot.com

    Bro Yusry @ CReaTiVe SiFu
    'Merintis Revolusi Pembelajaran Islam Luar Dari Biasa!'

    ReplyDelete

PERINGATAN BERSAMA UNTUK SEMUA

" ORANG BERAKAL IALAH MEREKA YANG MANA AKALNYA MAMPU MENGAWASI DIRINYA DARIPADA SEGALA KEJAHATAN "

~ IMAM AL-SYAFIE ~